Economy Not Affected Without GST | CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
» ARTICLE » Economy Not Affected Without GST

Economy Not Affected Without GST

Oleh Dr. Mohd Yusof Saari 
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Kerajaan telah mengumumkan bahawa bermula 1 Jun 2018, GST akan dikenakan pada kadar sifar dan terpakai di seluruh Malaysia. Ini bermakna bahawa secara teknikalnya GST telah dihapuskan dan akan digantikan dengan SST.

GST dilaksanakan sejak 1 April 2015 berdasarkan kepada jangkaan bahawa ianya meningkatkan kecekapan ekonomi dan menurunkan harga barangan. Jangkaan ini bersandarkan kepada hasil dapatan analisis daripada pihak kerajaan terdahulu.

Selepas tiga tahun perlaksanaanya, jangkaan ini tidak menepati amalan pratikalnya di Malaysia. Realitinya harga barangan terus meningkat dengan peningkatan yang lebih tinggi berbanding sebelum perlaksanaan GST.

Dari satu sudut, rakyat percaya bahawa GST menjadi punca kenaikkan harga barangan di pasaran. Penolakkan GST oleh rakyat diterjemahkan dengan memberi mandat besar kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Dari sudut yang lain, ada yang berpandangan penghapusan GST boleh menjejaskan ekonomi kerana kerajaan akan mengalami susutan ke atas kutipan hasil cukai dan seterusnya menggurangkan perbelanjaan ke atas ekonomi.

Untuk memahami sama ada penghapusan GST menjejaskan ekonomi atau tidak, kita perlu membuat sedikit analisis bagi mengurai sumbangan GST kepada hasil cukai negara.  

Perangkaan menunjukkan kutipan GST tidaklah memberi sumbangan besar kepada jumlah hasil cukai. Di antara tahun 2015-2017, secara purata GST menyumbang sekitar 21% sahaja kepada jumlah hasil cukai. Terdahulu, sistem SST pula menyumbang sekitar 10%, menjadikan perbezaan di antara GST dan SST hanyalah sekitar 11%.

Pada tahun 2017, kutipan GST adalah sebanyak RM41 billion dan SST jika dikekalkan dijangka menyumbang sekitar RM17 billion. Jadi, perbezaan hasil cukai kerajaan di antara GST dan SST hanyalah RM24 billion.

Berdasarkan perangkaan ini, penghapusan GST dijangka tidak akan menjejaskan ekonomi. Perbelanjaan kerajaan tidak akan terjejas kerana sumbangan GST kepada kutipan hasil tidaklah signifikan.

Terdapat beberapa langkah-langkah yang boleh diambil untuk menampung penggurangan sebanyak 11% atau sekitar RM24 billion akibat penghapusan GST.

Pertama, penjimatan di dalam perbelanjaan mengurus melalui penswastaan sektor awam dan menilai semula program-program dan projek-projek pembangunan semasa kerajaan

Kedua, pengurangan juga boleh ditampung melalui penjanaan keuntungan perniagaan oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC)

Ketiga, merancakkan semula “enjin” ekonomi Malaysia agar kutipan hasil cukai bertambah selari dengan pertumbuhan perniagaan. Ekonomi Malaysia memerlukan kepada perubahan struktur dan usaha ke arah mempelbagaikan aktiviti ekonomi.

Date of Input: 08/10/2018 | Updated: 08/10/2018 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 8946.6003
03 8946.8972
C1548034391