| CORPORATE STRATEGY AND COMMUNICATIONS OFFICE

KPI PERFORMANCE ASSESSMENT WORKSHOP (Q1 2015)

SERDANG, 17 April – Tahun 2015 merupakan tahun kedua UPM melaksanakan penilaian terhadap Pelan Strategik 2014-2020 yang telah meletakkan aspirasi Putra Global 200 (PG200) sebagai sasaran keberhasilan utama UPM. Selari dengan pelan strategik tersebut, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) telah menganjurkan Bengkel Penilaian Pencapaian KPI Suku Pertama 2015 yang bertujuan untuk melaporkan pencapaian prestasi 39 KPI daripada 50 KPI yang telah ditetapkan pada tahun 2015.

Pengarah CoSComm, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, berkata KPI UPM diukur secara berkala pada setiap suku tahun, iaitu suku pertama (S1), suku kedua (S2), suku ketiga (S3) dan suku keempat (S4) mengikut jumlah KPI yang telah ditetapkan. Semua data KPI ini dianalisis dan dipantau melalui Sistem MyPutra Cockpit di bawah seliaan Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm).

“KPI yang dibangunkan oleh UPM adalah berdasarkan tujuh (7) teras utama perkhidmatan universiti berdasarkan portfolio setiap ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang meliputi akademik, penyelidikan dan inovasi, hal ehwal pelajar, jaringan industri dan masyarakat, sumber manusia, pengurusan kewangan dan pengurusan maklumat & ICT. Bagaimanapun, UPM juga mengukur prestasi Pertanian sebagai bidang tujahan utama mengikut KPI yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti”, katanya semasa menyampaikan taklimat pembukaan bengkel tersebut, di sini, semalam.


YBhg. Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris menyampaikan taklimat pembukaan bengkel


Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan, berkata penilaian prestasi suku pertama tahun 2015 menunjukkan UPM mencapai 79.8%, iaitu berada pada tahap memuaskan dan terdapat beberapa KPI yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap peneraju.

“Semua peneraju perlu mengambil langkah proaktif dan strategik untuk meningkatkan prestasi KPI masing-masing dengan mengkaji semula pelan tindakan sedia ada supaya lebih komprehensif dan efektif. Peneraju juga perlu menggembleng sumber dengan cekap, membuat pemantauan secara berkesan dan menggunakan bakat secara kolektif untuk melaksanakan pelan untuk mencapai KPI yang telah disasarkan”, katanya ketika membentangkan laporan keseluruhan pencapaian KPI UPM untuk Suku Pertama 2015 di Auditorium Putra, Bangunan Canselori Putra.


YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan membentangkan laporan keseluruhan pencapaian KPI UPM untuk Suku Pertama 2015


Dalam bengkel yang sama juga, CoSComm telah menjemput  Prof. Madya Dr. Noor Azman Ali, daripada Jabatan Pengurusan dan Pemasaran, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan untuk membentangkan cadangan Pengurusan Risiko di UPM. Cadangan pelaksanaan pengurusan risiko universiti telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti melalui mesyuaratnya yang ke-538 pada 25 Mac 2015 yang lalu.

“Pengurusan Risiko di UPM adalah proses yang diaplikasikan dalam Universiti untuk menentukan potensi berlakunya sesuatu perkara yang akan memberi kesan kepada universiti dan seterusnya mengurus risiko berkenaan agar berada dalam kadar yang boleh diterima untuk mencapai objektif universiti.  Risiko perlu diurus dengan baik melalui cara tertentu dengan mengenalpasti, menilai, mengawal dan sentiasa memantau agar akhirnya ia berada dalam lingkungan yang boleh diterima”, kata Prof. Madya Dr. Noor Azman Ali semasa menyampaikan kertas pembentangannya yang bertajuk UPM Risk Management Framework.


Prof. Madya Dr. Noor Azman Ali membentangkan cadangan Pengurusan Risiko di UPM


Selain itu, bengkel ini juga memberi peluang kepada semua peserta untuk mendapatkan maklumat berkenaan bajet UPM 2015 melalui Pembentangan Agihan Peruntukan 2015 dan Strategi Penjanaan Pendapatan yang dibentang oleh Bursar, Tuan Haji Zulkiflee Othman. Dalam pembentangannya, bursar telah menyentuh berkenaan aplikasi dan strategi UPM ke atas Dasar Fiskal Negara dan penjanaan sumber dalaman untuk menampung perbelanjaan UPM sepanjang tahun 2015.

Bengkel Penilaian Pencapaian KPI Suku Pertama 2015 dihadiri oleh semua ahli Jawatankuasa Pengurusan dan lebih daripada 80 Pegawai Kanan Universiti yang terdiri daripada semua Dekan, Pengarah dan Ketua Bahagian PTJ di UPM.




Other News

SXDcUAq~